MENDAMPINGI KELAB UMNO NEW YORK -CONNECTICUT
Kelab UMNO NY-CT yang telah ditubuhkan pada tahun 2004 adalah berpusat di bandar West Haven, Connecticut. Ianya terletak lebih kurang 80 kilometer di utara New York City dan hanya 7 kilometer dari Yale University.
Terdapat banyak universiti selain daripada Yale University di kawasan sekitar, seperti University of New Haven, University of Bridgeport, University of Hartford, Southern Connecticut State University dan University of Connecticut, tetapi tidak ramai pelajar Melayu yang menuntut di sini.
Hampir keseluruhan masyarakat Melayu di sini adalah bekas pelajar yang sudah berjaya sama ada di bidang kerjaya mahupun di bidang usahawan. Ramai yang bekerja sebagai pengurus di syarikat minyak, pengurus restoran, pegawai bank, jurutera, juruaudit, akauntan, programmer dan sebagainya. Di bidang perniagaan pula, terdapat dua buah restoran yang dimiliki oleh masyarakat Melayu di sini, iaitu Restoran Bentara dan Warong Selera. Seorang AJK Kelab UMNO telah mempunyai dua buah kedai runcit, sebuah kedai fesyen baju and juga menjadi pengedar barangan. Salah seorang ahli Kelab telah membuka kedai daging halal dan barangan runcit semenjak dua tahun lalu. Seorang lagi telah membuka kedai membaiki kereta. Beberapa orang ahli kelab telah menggiatkan diri dengan Primerica Financial Services dan ramai yang telah mencapai tahap District Leader. Ramai juga yang telah membeli rumah tempat tinggal masing-masing. Alhamdulillah, tidak kurang juga yang telah maju dan berjaya di bidang masing-masing.
Kebanyakan ahli Kelab dan masyarakat Melayu di sini sudah berumah tangga dan sebilangan yang telah menetap di sini lebih dari dua dekad. Ada yang telah berkahwin dengan warga Amerika yang telah memeluk agama Islam, namun majoritinya berkahwin dengan bangsa Melayu. Ramai yang sudah mempunyai anak belasan tahun. Alhamdulillah, buat pertama kali, untuk tahun ini, Kelab UMNO NY-Connecticut mempunyai dua ahli remaja berumur 18 tahun, dimana seorang telah menjadi apprentice di Sikorsky Helicopter dan seorang lagi bakal melanjutkan pelajaran ke universiti. Jumlah kanak-kanak Melayu di kawasan sekitar bandar West Haven sahaja sudah menjangkau 70 orang. Kami juga bersyukur kerana terdapat dua buah masjid yang berdekatan dengan bandar ini untuk tujuan ibadah dan juga sebagai pusat pendidikan awal agama anak-anak Melayu di sini.
Memandangkan keunikan masyarakat Melayu di sini, adalah penting bagi Kelab UMNO di sini untuk memainkan peranan bagi memastikan semangat “Tidak Melayu Hilang di Dunia” tidak akan pupus. Sebagaimana maklum terdapat segelintir Kelab UMNO Luar Negara di tempat lain yang ahlinya terdiri daripada golongan pelajar, dimana Kelab mereka dimansuhkan bilamana pelajar-pelajar tersebut kembali pulang ke Malaysia. Sebaliknya, Kelab UMNO NY-Connecticut yang sebahagian ahlinya yang berstatus PR akan menjamin kelab kami terus bersinar, dan tidak akan pupus di bumi Amerika, insyaAllah. Adalah menjadi harapan pucuk pimpinan kami sekarang untuk memupuk kepimpinan masa depan kelab ini supaya dapat diterajui oleh generasi yang akan datang.
Seterusnya, jarak yang dekat dengan New York City telah dapat merapatkan kerjasama antara masyarakat Melayu di sini dengan pegawai kerajaan di Consul Besar dan juga di Permanent Mission di United Nation. Bandar West Haven “Kampung Melayu” telah popular sebagai tempat kunjungan pegawai-pegawai kerajaan di sana untuk menyertai aktiviti seperti majlis aidil fitri, keputeraan agung, dan juga aktiviti musim cuti dan hujung minggu sejak beberapa tahun yang lalu, sama ada mengunjungi restoran Melayu, bersama meraikan aktiviti seperti memancing, camping, bowling, golf dan sebagainya.